ADVERTISE HERE
LIMBANG, 26 Sept: Aspek keterhubungan dan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya Limbang, terus diberi keutamaan bagi merapatkan jurang antara kawasan pedalaman dengan pusat pertumbuhan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata perhubungan jalan raya penting bagi memudahkan pergerakan penduduk, barangan dan perkhidmatan, selain menghubungkan kampung dengan kawasan bandar.
Katanya, penambahbaikan infrastruktur jalan raya memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman dan pesisir, termasuk membuka akses lebih baik kepada pelbagai peluang ekonomi.
“Sebagai Ahli Parlimen Limbang dan atas amanah yang diberikan dalam portfolio Kementerian Pengangkutan Malaysia, keutamaan saya sentiasa jelas, iaitu memastikan aspek keterhubungan dan infrastruktur di kawasan luar bandar, khususnya di Limbang, sentiasa ditambah baik.
“Pembangunan fizikal seperti jalan raya, jaringan pengangkutan dan kemudahan asas mestilah berjalan seiring dengan pembangunan minda serta ekonomi modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) 2026 Peringkat Parlimen Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini, hari ini.
Hasbi berkata, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sentiasa komited merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Katanya, pembangunan infrastruktur secara menyeluruh juga penting bagi membuka lebih banyak peluang dalam sektor pertanian, pelancongan dan perdagangan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi masyarakat luar bandar di Limbang.
“Segala perancangan ini tidak akan memberi impak maksimum tanpa sokongan mantap dan penyertaan aktif daripada seluruh komuniti,” katanya.

10 hours ago
10








English (US) ·