ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Risiko pembangunan industri hidrogen perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kemajuan teknologi yang berpotensi mengurangkan kos pengeluaran serta meluaskan pasaran pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata seperti mana-mana teknologi baharu, pembangunan industri hidrogen sememangnya berdepan ketidaktentuan, terutama dari segi permintaan, pasaran dan daya maju projek.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan teknologi dijangka meningkatkan kecekapan pengeluaran sekali gus menurunkan kos dan memperluas asas pengguna hidrogen.
“Memang ada risiko. Saya bersetuju ada risiko, tetapi kita perlu menganalisis risiko tersebut dan melihat teknologi yang akan digunakan pada masa hadapan.
“Apabila kita melakukan sesuatu yang baharu, memang ada unsur ketidaktentuan dari segi penggunaannya. Tetapi saya percaya teknologi akan mengurangkan kos. Apabila kos pengeluaran berkurangan, permintaan terhadap hidrogen dijangka meningkat,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak 2026 (SCOPE) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan penganalisis Global Asia Consulting yang dilaporkan mempersoalkan daya maju projek hidrogen serta mencadangkan kerajaan Persekutuan menilai semula pemberian insentif kepada Sarawak.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pembangunan industri hidrogen ketika ini umpama persoalan “ayam dan telur”, iaitu sama ada permintaan perlu diwujudkan terlebih dahulu atau pengeluaran perlu dimulakan bagi membentuk pasaran.
Katanya, mengambil risiko adalah sebahagian daripada pembangunan teknologi baharu, namun ia perlu dibuat berdasarkan penilaian yang teliti.
“Ini sama seperti komputer pada masa dahulu. Komputer dahulunya sangat mahal, tetapi hari ini harganya lebih murah kerana teknologi baharu digunakan dalam proses pengeluarannya.
“Saya percaya perkara yang sama akan berlaku kepada hidrogen,” katanya.
Abang Johari berkata, antara faktor utama yang menyebabkan kos pengeluaran hidrogen masih tinggi ketika ini ialah penggunaan tenaga serta kos elektroliser.
Bagaimanapun, katanya, kemajuan teknologi membran berpotensi meningkatkan kecekapan proses pemisahan hidrogen dan oksigen, sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga serta kos pengeluaran.
“Apabila membran menjadi lebih padat dan boleh digunakan dalam kelompok, proses itu akan menjadi lebih cekap. Apabila teknologi membran ini berkesan, kos akan menjadi lebih rendah dan penggunaan tenaga juga akan berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan teknologi hidrogen kini turut mendapat perhatian semula di peringkat antarabangsa, dengan beberapa negara meningkatkan tumpuan terhadap penggunaannya.
“Sekarang teknologi itu sudah berkembang. Banyak negara kembali kepada hidrogen. Jerman kembali memberi perhatian kepada hidrogen, begitu juga China,” katanya.

6 hours ago
6








English (US) ·