Kuching bandar raya peneraju AFHC 2028-2030

8 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 29 Sept: Kuching dipilih sebagai bandar raya peneraju dan Pengerusi Alliance for Healthy Cities (AFHC) bagi tempoh 2028 hingga 2030, sekali gus mengukuhkan peranan ia dalam agenda Bandar Sihat di peringkat antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata pemilihan secara sebulat suara itu adalah satu pengiktirafan dan tanggungjawab besar kepada Kuching.

Katanya, peranan berkenaan memberi peluang kepada Kuching untuk berkongsi pengalaman, mempelajari pendekatan baharu serta mengetengahkan pengalaman bandar-bandar di Asia dan Pasifik.

“Kuching juga akan menjadi tuan rumah Persidangan Global AFHC ke-12 pada 2028. Perjalanan Bandar Sihat Kuching bermula pada 1994. Lebih tiga dekad kemudian, perjalanan itu masih diteruskan,” katanya ketika berucap pada Kongres dan Pameran Dunia ke-15 mengenai Reka Bentuk dan Kesihatan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Sim berkata perubahan iklim kini semakin jelas menjadi isu kesihatan awam, khususnya di Sarawak yang berdepan pelbagai cabaran termasuk pencemaran udara, jerebu, haba melampau, banjir, keselamatan air dan makanan serta penyakit bawaan vektor.

“Kesihatan manusia tidak boleh dipisahkan daripada kesihatan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata bandar masa depan bukan sahaja perlu rendah karbon, tetapi juga berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta mampu menyokong kesihatan penduduk.

“Bandar mampan yang tidak melindungi kesihatan manusia bukanlah bandar yang benar-benar mampan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru peserta kongres menterjemahkan idea dan pengetahuan yang diperoleh kepada tindakan sebenar, termasuk menghasilkan reka bentuk yang dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta mempengaruhi dasar.

“Biarlah Kuching menjadi tempat di mana idea mengenai reka bentuk dan Bandar Sihat bergerak daripada kertas persidangan kepada pelaksanaan dunia sebenar,” katanya.

Beliau berkata keputusan reka bentuk bandar yang dibuat hari ini akan memberi kesan kepada generasi akan datang kerana bangunan, jalan raya dan sistem pengangkutan boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat untuk tempoh yang panjang.

“Bagi Sarawak, hala tuju kami jelas. Kami mahu bandar yang sihat, inklusif, pintar, berdaya tahan dan yang paling penting, direka untuk manusia,” katanya.

Read Entire Article