Kuching semakin diiktiraf dalam agenda Bandar Sihat antarabangsa

9 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 29 Sept: Bandar raya Kuching semakin mendapat pengiktirafan dalam agenda Bandar Sihat di peringkat antarabangsa susulan pengiktirafan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sebagai bandar pakar kesihatan oleh Alliance for Healthy Cities (AFHC), awal September.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Asri Said, berkata pengiktirafan itu mencerminkan perkembangan pengalaman Kuching dalam menggabungkan aspek kesihatan, komuniti, kelestarian dan pembangunan bandar.

Beliau yang mewakili Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit, berkata pengiktirafan berkenaan turut meletakkan Kuching pada kedudukan penting dalam pergerakan bandar sihat di peringkat global.

“Ia bukan sekadar sebagai bandar yang belajar daripada bandar lain, tetapi semakin mampu berkongsi pengalaman, inovasi dan pengajaran sendiri dengan bandar di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian World Congress and Exhibition on Design and Health 2026 di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.

Menurutnya, Sarawak mempunyai keunikan tersendiri sebagai lokasi yang menghimpunkan kepelbagaian masyarakat, warisan pribumi, biodiversiti serta persekitaran bandar dan luar bandar.

“Sebagai universiti yang terletak di tengah-tengah Borneo, kami percaya bahawa ilmu perlu bergerak dalam kedua-dua arah, iaitu kita belajar daripada dunia dan kita juga berkongsi apa yang telah dipelajari daripada komuniti, alam sekitar dan perjalanan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, persidangan berkenaan perlu menjadi lebih daripada sekadar persidangan, sebaliknya platform untuk mencetuskan idea, kerjasama dan tindakan.

Katanya, kerjasama antara pelbagai bidang, sektor dan negara penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, inklusif dan berdaya tahan.

World Congress and Exhibition on Design and Health 2026 menghimpunkan pakar dalam bidang seni bina, reka bentuk, perancangan bandar, penjagaan kesihatan, kesihatan awam, sains alam sekitar, kejuruteraan, teknologi, seni kreatif, penyelidik, pembuat dasar dan industri. -TVS

Read Entire Article