Laksana tugas dengan ikhlas, jaga integriti

1 day ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 28 Sept: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan supaya sentiasa melaksanakan tugas dengan ikhlas dan profesional, selain menjaga integriti dalam setiap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Pesanan itu disampaikan Ketua Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah ketika menghadiri Majlis Mess Night Dining Out sempena perpindahan beliau yang berlangsung di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

“Saya ingin mengingatkan warga pasukan supaya sentiasa menjaga kepercayaan masyarakat kerana kepercayaan mengambil masa untuk dibina, namun boleh hilang dalam sekelip mata,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan kebajikan anggota kerana kekuatan sesebuah pasukan bergantung kepada mereka yang menggerakkannya.

Majlis yang dianjurkan Mes Pegawai Kanan PDRM Kontinjen Sarawak itu bertemakan “A Legacy of Excellence, A Future of Inspiration”, sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan dan sumbangan Datuk Mohamad Zainal sepanjang menerajui PDRM Kontinjen Sarawak.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak merangkap Timbalan Yang Dipertua Mes Pegawai Kanan PDRM Kontinjen Sarawak, DCP Saifullizan Ishak bersama isteri, Faisha Ishak selaku Naib Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Mohamad Zainal dan isteri, Datin Dr Nitce Isa Medina Machmudi Isa.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video montaj yang mengimbau perjalanan kerjaya serta sumbangan Datuk Mohamad Zainal kepada PDRM Kontinjen Sarawak, selain penyampaian cenderamata sebagai tanda penghormatan.

Turut hadir Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Formasi, Ketua Polis Daerah serta Pegawai Kanan Polis Kontinjen Sarawak.-TVS

Read Entire Article