Lebih 1.25 juta hektar tanah NCR diukur setakat Ogos

4 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan lebih 1.25 juta hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di seluruh Sarawak berjaya diukur setakat 31 Ogos lalu menerusi Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

Beliau berkata, walaupun pencapaian itu mencerminkan kemajuan besar dalam usaha menyelesaikan isu tanah NCR, kualiti penyelesaian perlu terus diberi perhatian.

Menurut Abang Johari, perkara itu penting kerana proses penyelesaian melibatkan kesejahteraan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan.

“Teknologi boleh mempercepatkan proses, tetapi penglibatan dengan pemilik tanah, komuniti dan pihak berkepentingan tetap penting.

“Kejelasan proses dan komunikasi yang baik akan mengurangkan pertikaian, meningkatkan keyakinan dan memastikan hak rakyat terus dipelihara,” kata bdliau.

Abang Johari berkata demikian pada Makan Malam Perasmian Penutupan Hari Inovasi dan Integriti Tanah dah Survei (HIITS) 2026 di sini, malam ini.

Beliau menambah penyelesaian secara menyeluruh merupakan pendekatan utama dalam menangani isu tanah NCR, merangkumi identifikasi kawasan, penyukatan dan pengesahan sempadan hingga dokumentasi, pendaftaran dan pengeluaran hak milik.

Sementara itu, berhubung pelaksanaan projek infrastruktur kerajaan negeri, beliau berkata proses pemilikan tanah perlu mengutamakan hak pemilik tanah.

“Proses pengambilan tanah perlu disokong oleh penilaian yang profesional, konsisten dan dapat dipertahankan supaya pembangunan dapat dilaksanakan tepat pada masanya, tanpa mengabaikan hak pemilik tanah untuk menerima
pampasan yang adil,” kata beliau.

Abang Johari menyatakan fungsi penilaian perlu bergerak lebih jauh ke arah berasaskan data menerusi penggunaan data transaksi, maklumat geospatial dan analitik pasaran yang lebih tersusun.

“Ini akan meningkatkan ketepatan penilaian, mempercepat keputusan kerajaan, mengurangkan pertikaian dan memastikan hasil negeri dinilai secara wajar,” jelas beliau.

Tambah beliau, penilaian bagi pindaan syarat hak milik, pelupusan terus, pembaharuan pajakan tanah dan projek-projek utama perlu mengambil kira perubahan pasaran serta potensi pembangunan secara teliti. -TVS

Read Entire Article