Lebih 13,000 peserta terkesan pembatalan Kuching Marathon

51 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

KUCHING, 25 Sept: Pembatalan Kuching Marathon 2026 pada saat akhir memberi kesan kepada lebih 13,000 peserta yang telah mendaftar, termasuk peserta dari luar Sarawak yang membuat persiapan awal untuk menyertai acara berkenaan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembatalan itu turut memberi kesan kepada peserta yang telah membuat tempahan penginapan serta penerbangan bagi menghadiri acara berkenaan.

“Kalau betul dibatalkan, saya sendiri berasa sedih kerana harapan mereka yang datang dan mendaftar. Kita juga tahu lebih 13,000 jumlahnya.

“Ramai daripada mereka datang dari luar Sarawak yang sudah menempah tempat penginapan seperti hotel dan inap desa. Ada yang datang menggunakan pesawat dan iru melibatkan kos untuk marathon ini,” katanya kepada TVS selepas meninjau persiapan akhir Anugerah Industri Muzik (AIM) di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, pembatalan pada peringkat akhir boleh mengecewakan peserta yang telah membuat persiapan serta menanggung kos untuk menyertai acara berkenaan.

Beliau berkata, dirinya sendiri baru berada di lokasi pendaftaran sebelum menghadiri program berkenaan dan tidak dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, pihak penganjur dipercayai mempunyai sebab tertentu sebelum mengambil keputusan membatalkan acara berkenaan.

“Saya percaya penganjur tentunya ada sebab tertentu mengapa ia dibatalkan, dan mungkim atas nasihat daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak,” katanya lagi.

Katanya, kementeriannya turut menyalurkan bantuan kewangan bagi penganjuran acara berkenaan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada pelbagai perkara.

Abdul Karim berkata, beliau turut memahami sekiranya pembatalan itu mencetuskan kritikan di media sosial, khususnya daripada peserta yang telah membuat persiapan dan menanggung kos bagi menyertai acara tersebut.

Terdahulu, Kuching Marathon Association (KMA) dalam kenyataan memaklumkan Kuching Marathon 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 27 September, dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda Kuching dan kawasan sekitarnya. – TVS

Read Entire Article