Malaysia, Indonesia terus koordinasi tangani jerebu

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sept: Malaysia akan meneruskan koordinasi dengan Indonesia dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dengan memberi keutamaan kepada langkah pencegahan awal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama berterusan antara kedua-dua negara penting bagi menangani isu rentas sempadan secara berkesan.

Menurutnya, Malaysia sebelum ini melaksanakan satu atau dua operasi pembenihan awan (OPA) untuk negara lain berdasarkan permintaan dan kebenaran.

“Bagi negara lain, berdasarkan permintaan dan kebenaran. Ada satu dua yang telah kita lakukan namun koordinasi jangka panjang akan terus dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Pengurusan Bencana Pusat bersama Kerajaan Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Zahid menjelaskan, isu jerebu turut menjadi antara perkara yang akan dibincangkan bersama Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka.

Menurutnya, pendekatan pencegahan awal perlu diberi keutamaan bagi mengelakkan isu rentas sempadan menjadi lebih sensitif antara negara.

“Kami yakin bahawa pencegahan lebih baik daripada mengubati. Maksudnya kita mengambil langkah-langkah awal untuk pencegahan dan ini merupakan satu langkah yang terpenting sebagai anggota negara ASEAN,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara anggota ASEAN perlu mengambil langkah proaktif dalam menangani isu rentas sempadan termasuk banjir, kebakaran dan jerebu.

“Langkah-langkah proaktif wajib dilakukan oleh negara-negara anggota ASEAN terutamanya apabila ia melibatkan soal banjir, soal kebakaran, soal jerebu dengan sebuah negara jiran,” jelasnya.

Menurut Zahid, selain usaha teknikal, pendekatan diplomatik turut penting bagi memastikan isu rentas sempadan dapat ditangani secara berkesan.

“Bagi saya, langkah-langkah diplomatik harus dilakukan selain usaha-usaha teknikal antara pegawai-pegawai di negara jiran dan juga negeri-negeri di Semenanjung serta negeri di Borneo,” katanya.

Beliau berkata, koordinasi antara negara jiran perlu diteruskan bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan lebih awal sekali gus mengurangkan risiko akibat isu rentas sempadan.-TVS

Read Entire Article