ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak perlu menunggu permintaan kerajaan negeri untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA), sebaliknya boleh mengambil langkah proaktif berdasarkan khidmat nasihat profesional berkaitan keadaan angin dan awan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan OPA akan diselaraskan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kita lakukan koordinasi dengan METMalaysia dan TUDM. METMalaysia akan memberikan nasihat apabila awan yang membawa hujan berada di lokasi tertentu untuk dibawa ke kawasan yang memerlukan peningkatan bekalan air di kawasan tadahan.
“Kita akan koordinasikan tanpa adanya permintaan daripada kerajaan negeri pun. Maksudnya, kita mengambil langkah proaktif untuk melakukan pembenihan awan berdasarkan khidmat nasihat dan juga perkhidmatan yang diberikan oleh TUDM,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Pengurusan Bencana Pusat bersama Kerajaan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Zahid berkata, NADMA sebelum ini melaksanakan OPA di Sarawak sekurang-kurangnya tiga kali berdasarkan permintaan kerajaan negeri.
Menurutnya, pendekatan proaktif itu penting berikutan terdapat beberapa takungan air (reservoir) yang mengalami penurunan paras sehingga menyebabkan bekalan air berada dalam keadaan kritikal.
“Untuk negara lain, kita laksanakan berdasarkan permintaan dan kebenaran. Ada yang telah kita laksanakan, namun koordinasi jangka panjang akan terus dilakukan,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, perkara berkaitan OPA turut dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Bali baru-baru ini, namun belum ada keputusan utama daripada negara berkenaan.
Katanya, perkara itu juga akan dibawa menerusi lawatan kerja beliau ke Jakarta bersama Kerajaan Indonesia.-TVS

1 hour ago
4








English (US) ·