Para Sukma 2024: Sarawak kekal sasar 83 pingat emas untuk muncul juara

2 months ago 27
ADVERTISE HERE
Fatimah (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

Advertisement

KUCHING, 18 Sept: Kurang seminggu sebelum bermula temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak kekal dengan sasaran 83 pingat emas.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sasaran tersebut kekal setelah persiapan terakhir dilakukan oleh setiap atlet para Sukma Sarawak.

“Sarawak pada awalnya telah menetapkan sasaran 83 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan.

Advertisement

“Kemudian selepas latihan intensif para atlet dan pendedahan di luar negara, diikuti latihan di venue pertandingan, kita tanya lagi jumlah sasaran pingat emas dan ia kekal 83,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Persamian Pusat Media Utama Para Sukma Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.

Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang menawarkan jumlah keseluruhan 328 pingat emas menerusi 10 acara sukan dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 28 Sept ini.

Baru-baru ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memaklumkan akan menyediakan insentif RM15,000 kepada para atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas.

Manakala pemenang pingat perak akan menerima RM5,000 manakala gangsa (RM3,000).

Temasya kali ini disertai oleh seramai 1,290 atlet para yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet para wanita.

Daripada jumlah tersebut, 213 orang atlet adalah atlet para Sarawak yang terdiri daripada 143 atlet para lelaki dan 70 atlet para wanita.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol. — DayakDaily

Read Entire Article