Paris 2024: Nicodemus hanya lepasi angkatan pertama

3 weeks ago 99
ADVERTISE HERE

PARIS: Atlet powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses sekadar menamatkan acara lelaki 97 kilogram (kg) di tangga ketujuh dalam kalangan sembilan peserta pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini, hari ini.

Penampilan sulung di temasya sukan empat tahun sekali itu, atlet berusia 31 tahun hanya berjaya melakukan angkatan 210kg pada percubaan pertamanya sebelum dua percubaan seterusnya iaitu 220kg dibatalkan.

Pingat emas disambar atlet Jordan Abdelkareem Mohmmad Ahmad Khattab yang melakukan 270kg sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya sendiri iaitu 260kg pada kejohanan Piala Dunia 2024 di Tbilisi, Georgia, Jun lepas.

Lebih menarik, Abdelkareem turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang berusia lapan tahun dilakukan Mohamed Eldib dari Mesir iaitu 237kg dengan catatan baharu 240kg pada percubaan pertama dan memperbaharui rekod miliknya sendiri dengan 250kg pada percubaan kedua.

Rekod dunia 270kg yang dilakukan pada percubaan terakhirnya turut dikira sebagai rekod Sukan Paralimpik baharu.

Ye Jixiong dari China membawa pulang perak (229kg) dan Fabio Torres dari Colombia pula merangkul gangsa (228kg).

Keputusan tersebut menyaksikan atlet dari Kuching, Sarawak itu tidak berjaya mengikut jejak langkah rakan sepasukan dan jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin yang tidak berdepan masalah untuk menyumbang emas kedua negara bagi kategori lelaki 72kg, Jumaat.

Bukan sahaja mempertahankan emas, malah Bonnie membuktikan beliau sukar digugat dengan melakukan angkatan seberat 232kg sekali gus meleburkan rekod lama miliknya 231kg yang dilakukan pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai.

Jumlah angkatannya itu merupakan rekod baharu temasya ini mengatasi rekod lama yang juga milik Bonnie iaitu 228kg pada Tokyo 2020.

Seorang lagi wakil negara dan pemenang perak Tokyo 2020, Jong Yee Khie akan beraksi dalam acara lelaki 107kg dan merupakan atlet terakhir negara bertanding pada Paris 2024 sebelum temasya sukan empat tahun sekali itu melabuhkan tirainya malam esok.

Read Entire Article