ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Kemajuan dicapai Malaysia ketika ini membuktikan tiada rakyat tercicir daripada menikmati arus pembangunan dan manfaat kemakmuran ekonomi negara.
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kejayaan itu menuntut semua pihak terus memberi perhatian terhadap kesejahteraan warga emas, orang kelainan upaya, masyarakat luar bandar serta komuniti yang mudah terjejas.
Menurutnya, kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membuktikan pendekatan pembangunan inklusif di kawasan luar bandar mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.
“Langkah ini memastikan masyarakat peribumi serta penduduk kampung dan rumah panjang turut merasai arus pemodenan,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia 2026.
Wan Junaidi berkata, antara contoh pendekatan berkenaan ialah penubuhan beberapa agensi pembangunan wilayah seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Menurutnya, penyaluran peruntukan khusus bagi pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman merupakan asas penting kepada kemakmuran sesebuah negara.
Sementara itu, sempena sambutan Hari Malaysia, beliau berkata, tarikh bersejarah itu perlu dijadikan titik pembaharuan azam untuk membina sebuah negara yang lebih adil, progresif dan berperikemanusiaan.
“Hari Malaysia juga mengajar kita bahawa kejayaan tidak datang melalui jalan yang mudah.
“Ia menuntut kesabaran, kebijaksanaan, kesatuan hati dan pengorbanan. Oleh itu, marilah kita terus berganding bahu menghadapi segala cabaran dengan semangat yang kental,” ujarnya.-TVS

1 hour ago
7








English (US) ·