ADVERTISE HERE
KUCHING, 28 Sept: Project Nurturing Ability, Diversity and Inclusion (NADI) GEM dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada kanak-kanak neurodivergen dan kanak-kanak daripada latar belakang kurang mendapat akses untuk mengembangkan potensi mereka menerusi pendekatan berasaskan muzik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif hasil kerjasama Prodigy Music Centre dan Petros Foundation Berhad itu mencerminkan usaha bersama dalam menyediakan ruang pembelajaran muzik yang lebih inklusif kepada golongan berkenaan.
Menurutnya, muzik mempunyai keupayaan untuk menggalakkan komunikasi, membina keyakinan diri serta memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mengekspresikan diri dalam persekitaran yang menyokong.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Petros Foundation Berhad dan Prodigy Music Centre kerana bergabung dalam menjayakan kerjasama yang bermakna ini.
“Project NADI GEM , mencerminkan komitmen bersama dalam menyediakan peluang kepada kanak-kanak neurodivergen dan kanak-kanak daripada golongan yang kurang mendapat akses melalui peluang pembangunan berasaskan muzik., ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Prodigy 16 Anniversary Recital and Award Ceremony-SYMPHONY No. 16 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Tambahnya lagi, inisiatif seperti Project NADI JAM penting kerana setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, mengambil bahagian, mengenal pasti kekuatan diri dan mencapai potensi masing-masing tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
Katanya, muzik turut menyediakan platform untuk kanak-kanak membina hubungan bermakna, berkomunikasi dan mengembangkan keyakinan diri, selain memupuk rasa dihargai serta mempunyai tempat dalam komuniti.
Dalam pada itu, Fatimah menegaskan pembangunan masyarakat inklusif memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, komuniti, pendidik dan keluarga.
Jelasnya, kerjasama antara Petros Foundation dan Prodigy Music Centre melalui Project NADI GEM menunjukkan bagaimana perkongsian strategik mampu diterjemahkan kepada peluang pembangunan yang lebih bermakna untuk kanak-kanak serta keluarga di Sarawak-TVS.

1 day ago
10








English (US) ·