Perodua, Bank Rakyat lancar Credit Card-i khas pemilik kenderaan

49 minutes ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 22 Sept: Pemilik kenderaan Perodua kini mempunyai pilihan baharu untuk menikmati manfaat tambahan berkaitan automotif menerusi pelancaran Perodua-Bank Rakyat Credit Card-i.

Kerjasama strategik antara Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Bank Rakyat itu memberi tumpuan kepada keperluan harian pemilik kenderaan, termasuk perbelanjaan bahan api, pengecasan kenderaan elektrik (EV), penyelenggaraan serta perlindungan takaful.

Melalui kad berkenaan, pemegang kad ditawarkan lima kali ganda mata ganjaran bagi transaksi automotif yang boleh ditukar dan ditebus menerusi aplikasi mudah alih Perodua P-Circle.

Selain itu, pengguna turut menikmati kemudahan seperti tiada yuran tahunan, tiada caj transaksi luar negara, serta perlindungan takaful percuma bagi baki tertunggak sehingga RM300,000 sehingga umur 70 tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran itu mencerminkan usaha syarikat memperluaskan nilai tambah kepada pelanggan.

“Pelancaran Credit Card-i ini merupakan satu pencapaian penting buat Perodua kerana ia adalah kerjasama pertama kami bersama institusi perbankan bagi memperkenalkan produk seperti ini.

“Kami mahu memastikan pelanggan bukan sahaja memiliki kenderaan Perodua, tetapi turut menikmati pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh melalui pelbagai manfaat dan kemudahan yang berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama itu menggabungkan kekuatan perbankan Islam dan industri automotif bagi menawarkan penyelesaian kewangan yang lebih relevan.

“Kerjasama strategik bersama Perodua ini membolehkan kami membina satu ekosistem yang memberikan nilai lebih besar kepada pelanggan melalui produk kewangan patuh Syariah yang inovatif.

“Kami percaya pendekatan ini akan membantu memperkukuhkan pengalaman pelanggan serta membuka lebih banyak peluang untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.

Perodua-Bank Rakyat Credit Card-i hadir dengan dua reka bentuk eksklusif yang diinspirasikan daripada Perodua QV-E dan TIRA, watak daripada filem animasi yang dipaparkan dalam aplikasi Perodua P-Circle.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di cawangan jualan dan servis Perodua atau cawangan Bank Rakyat berhampiran. -TVS

Read Entire Article