Senator Abun Sui Anyit

KUCHING, 30 Jan: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit menyokong titah pendapat Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Sarawak dan Sabah memerlukan peruntukan dua atau tiga kali ganda daripada biasa.

Katanya, Al Sultan Abdullah bertitah peruntukan tanpa ketirisan tersebut adalah untuk memajukan kedua-dua Negeri.

“Nasihat ini diberi setelah Baginda melihat sendiri pembangunan di Sabah dan Sarawak semasa Jelajah Borneo bulan September tahun 2023.

“Kalau dua faktor utama ini diikuti, maka pembangunan Sabah dan Sarawak akan rancak dan terus maju atau tidak ketinggalan lagi,” kata Abun dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ini adalah selari dengan pendirian Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa peruntukan untuk Sabah dan Sarawak perlu tinggi untuk mengejar pembangunan yang telah dikecapi di Semenanjung Malaysia.

“Ini juga telah saya usulkan di Dewan Negara tahun lepas,” ujar Abun.

Al-Sultan Abdullah menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa hari ini, 30 Januari 2024.

Baginda telah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019. — DayakDaily