ADVERTISE HERE
BAU, 16 Sept: Polis Bau bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Telekom Malaysia (TM) memperkukuh kerjasama bagi membendung kegiatan kecurian kabel di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat bersama pihak utiliti yang dipengerusikannya semalam, dengan fokus kepada langkah pencegahan serta pengesanan kegiatan berkenaan.
Menurutnya, antara langkah yang dipersetujui ialah perkongsian maklumat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan serta mengesan suspek.
“Selain itu, rondaan dan kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di kawasan pencawang serta lokasi yang dikenal pasti berisiko menjadi sasaran kegiatan berkenaan.
“Mesyuarat turut mencadangkan pemasangan lebih banyak CCTV di lokasi berisiko bagi membantu pemantauan dan memudahkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Haide berkata, kempen kesedaran awam dan saluran aduan akan diperluaskan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada polis.
“Pihak terlibat turut mempertimbangkan bentuk penghargaan kepada pemberi maklumat yang membantu sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan suspek.
“Kerjasama antara PDRM, pihak utiliti dan masyarakat amat penting bagi membanteras kecurian kabel yang bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah berpotensi mengganggu bekalan elektrik serta perkhidmatan telekomunikasi kepada orang awam,” ujarnya.-TVS

59 minutes ago
6








English (US) ·