Premier Sarawak mulakan lawatan kerja ke Australia

2 months ago 20
ADVERTISE HERE
Abang Johari tiba di Melbourne. Foto: UKAS

Advertisement

KUCHING, 26 Ogos: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Melbourne, Australia pada Isnin untuk memulakan lawatan kerja selama lima hari bermula dari 26 hingga 30 Ogos ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pesawat khas membawa Premier Sarawak selamat mendarat di Lapangan Terbang Melbourne kira-kira jam 7.30 malam tadi waktu tempatan.

Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni.

Advertisement

Abang Johari akan memulakan lawatan kerjanya dengan mengunjungi Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Hawthorn pada Selasa, jam 10.15 pagi untuk menghadiri pameran kampus di Hab Peralihan Tenaga Siemens Swinburne, Factory of the Future (FoF) dan Institut Industri dan Teknologi Angkasa Swinburne.

Ketiga-tiga pusat penyelidikan tersebut meneroka penyelesaian baru untuk cabaran tenaga teknikal semasa, mempercepatkan peralihan ke arah sektor tenaga mampan, mendalami teknologi pendigitalan dan meneroka kemajuan terkini dalam automasi pembuatan.

Selain itu, ia juga meneroka keupayaan berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam astrofizik, aeroangkasa, penerbangan, pembuatan termaju dan kecerdasan buatan.

Selepas itu, Premier Sarawak dijadual mengadakan perjumpaan dengan Naib Cancelor Universiti Swinburne Profesor Pascale Quester.

Pada jam 2 petang, Premier Sarawak dijadual mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di universiti berkenaan.

Premier Sarawak akan menamatkan lawatan kerja hari pertamanya dengan melawat makmal ujian (Pembuatan Terkini) Industri Kebangsaan 4.0 Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO) pada jam 3.15 petang.

Pada Khamis, Premier Sarawak dijadual berlepas ke Sydney, Australia untuk menyampaikan ucaptama beliau berjudul ‘The Powerhouse of Green Economy in ASEAN’ sempena Forum Perniagaan ASEAN Australia di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney pada jam 11.30 pagi.

Selepas itu, beliau bersama beberapa panel jemputan lain akan berkongsi pandangan dalam diskusi khas yang menyentuh mengenai ‘Peralihan Tenaga dan Ekonomi Hijau’.

Premier Sarawak kemudiannya akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perniagaan Malaysia Australia (AMBC) NEW dan Dewan Perniagaan Australia Sarawak (SABC).

Dianjurkan dari 29 hingga 30 Ogos, Forum Perniagaan ASEAN Australia kali ini memfokuskan topik berkaitan pertanian, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui dan hijau dengan tumpuan khusus kepada penyahkarbonan, transformasi digital, ekonomi pelawat dan ketahanan perubatan dan kesihatan.

Premier Sarawak dijadual kembali ke Kuching pada 30 Ogos. — DayakDaily

Read Entire Article