ADVERTISE HERE
KUCHING, 28 Sept: Penubuhan Prodigy Music Centre sejak 16 tahun lalu dilihat memberi peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan akses kepada pendidikan muzik sekali gus mengembangkan bakat mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif berkenaan membolehkan golongan kanak-kanak yang sebelum ini mungkin tidak mempunyai peluang mendapat pendidikan muzik, turut menikmati kemudahan dan peluang yang sama.
Beliau berkata, usaha yang dilakukan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Prodigy Music Centre, Sharnaz Saberi selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dengan memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, mempunyai peluang untuk mengembangkan potensi bakat masing-masing.
“Penubuhan Prodigy Music Centre memberi peluang kepada kanak-kanak yang kurang mendapat akses, khususnya daripada keluarga B40, untuk mendapatkan pendidikan muzik serta mengembangkan bakat mereka. Ini sememangnya satu sumbangan besar kepada komuniti, terutama ketika kerajaan kita begitu menekankan aspek keterangkuman, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Prodigy 16 Anniversary Recital and Award Ceremony-SYMPHONY No. 16 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Menurut beliau, akses kepada pendidikan muzik bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak untuk mempelajari kemahiran baharu, malah membuka peluang untuk mereka mengenal pasti dan mengembangkan bakat yang dimiliki.
Katanya, setiap kanak-kanak mempunyai keupayaan, minat dan aspirasi tersendiri yang perlu diberi ruang untuk diterokai, dipupuk dan dihargai.
Beliau turut menyifatkan kewujudan Prodigy sebagai satu sumbangan kepada komuniti kerana ia membuka peluang kepada golongan yang kurang mendapat akses untuk turut terlibat dalam pendidikan muzik.
Jelasnya, usaha sedemikian penting dalam memastikan peluang pembangunan bakat tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak daripada golongan yang mempunyai akses dan kelebihan tertentu-TVS

1 day ago
9








English (US) ·