Projek pembangunan perlu siap berkualiti, ikut jadual

7 hours ago 9
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Kerajaan Sarawak terus memberikan perhatian terhadap keupayaan menyiapkan projek dengan mutu yang baik serta mengikut jadual yang ditetapkan, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir. Aidel Lariwoo.

Beliau yang berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu memerlukan segala perancangan disokong oleh pelaksanaan yang teratur bermula daripada isu pertapakan, reka bentuk, utiliti dan bekalan bahan dikenal pasti lebih awal supaya pasukan projek dapat mengambil tindakan dengan segera.

Menurutnya, semua pihak yang terlibat perlu memperkukuh budaya menyelesaikan masalah dengan setiap isu perlu mempunyai pegawai yang bertanggungjawab, tindakan susulan yang jelas serta tempoh penyelesaian yang munasabah.

“Laporan kemajuan juga perlulah tepat supaya keputusan dapat dibuat berdasarkan keadaan sebenar selain kerjasama antara jabatan, perunding dan kontraktor amat diperlukan bagi menentukan keberkesanan setiap tindakan di lapangan.

“Integriti pula mesti ada dalam setiap pertimbangan profesional nasihat teknikal hendaklah berasaskan bukti, pemeriksaan perlu dilaksanakan dengan teliti dan pengesahan kerja mesti dibuat secara bertanggungjawab kerana kepercayaan rakyat dapat dipelihara apabila setiap pihak melaksanakan amanah dengan jujur serta bersedia mempertanggungjawabkan keputusannya.

“Keselamatan pekerja dan pengguna juga perlu diberikan perhatian sepanjang pelaksanaan projek dengan perancangan kerja, penyeliaan tapak serta tindakan terhadap risiko mesti dilaksanakan secara konsisten,” katanya ketika berucap semasa Majlis Prapelancaran Hari Profession Teknikal Negara 2026 di Kuching pada Rabu.

Dalam masa sama, Aidel turut menyeru semua pihak memanfaatkan kemajuan teknologi yang memberikan ruang yang luas untuk meningkatkan mutu kerja termasuk menggalakkan penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan, atau BIM, sistem maklumat geografi serta kecerdasan buatan mengikut keperluan tugas.

Ujarnya, penggunaannya perlu mempunyai tujuan yang jelas, seperti memperkemas penyelarasan reka bentuk, membantu analisis dan memudahkan pemantauan projek.

Tambahnya lagi, para pegawai perlu mempunyai kemahiran untuk menilai ketepatan data serta kesesuaian hasil analisis dengan pertimbangan profesional dan semakan oleh pegawai yang kompeten mesti menjadi sebahagian daripada proses kerja.

Jelasnya lagi, pelaburan dalam teknologi juga perlu disertai latihan yang mencukupi supaya manfaatnya dapat diterjemahkan kepada keputusan yang lebih baik dan perkhidmatan yang lebih cekap. -TVS

Read Entire Article