ADVERTISE HERE
KUCHING, 29 Sept: Pembangunan bandar masa depan perlu mengutamakan aspek kesihatan sejak peringkat reka bentuk dan bukan hanya bergantung kepada rawatan selepas seseorang jatuh sakit.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata banyak faktor risiko penyakit kronik sebenarnya sudah wujud antara 20 hingga 30 tahun sebelum seseorang mendapatkan rawatan.
Katanya, faktor berkenaan termasuk pemakanan, aktiviti fizikal, tempat tinggal, kualiti udara, persekitaran kerja, tekanan, hubungan sosial serta pendedahan kepada haba, banjir dan pencemaran.
“Kita perlu bergerak lebih awal dengan mereka bentuk bandar, komuniti dan bangunan supaya pilihan yang sihat menjadi pilihan yang lebih mudah,” katanya ketika merasmikan Kongres dan Pameran Dunia ke-15 mengenai Reka Bentuk dan Kesihatan 2026 di sini, hari ini.
Dr Sim yang juga pakar kardiologi berkata, pendekatan Bandar Sihat bukan perkara baharu bagi Kuching kerana agenda berkenaan sudah dimulakan sejak 1994.
Menurutnya, konsep Bandar Sihat menekankan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sebagai teras dalam perancangan serta pembangunan bandar.
“Pembangunan bukan hanya mengenai bangunan, jalan raya dan pertumbuhan ekonomi. Pembangunan akhirnya mesti berkaitan dengan manusia,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan kini merangkumi aspek perumahan, perancangan bandar, pengangkutan mampan, teknologi, penyertaan komuniti dan kualiti hidup.
Katanya, usaha membangunkan Bandar Sihat juga memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh digalas oleh satu sektor sahaja.
“Doktor, arkitek, jurutera dan kerajaan tidak boleh melakukannya bersendirian. Ia memerlukan semua pihak,” katanya.
Dr Sim berkata, masyarakat juga perlu mengubah pendekatan daripada hanya memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan kepada usaha mewujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan sihat.
Katanya, konsep reka bentuk salutogenik penting dalam mewujudkan persekitaran yang menggalakkan masyarakat kekal sihat.
“Bandar itu sendiri boleh menjadi sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan kita,” katanya.

8 hours ago
5








English (US) ·