Abdul Karim memberi penjelasan berkaitan Rang Undang-Undang Mufti Wilayah Persekutuan.

Advertisement

KUCHING, 14 Okt: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan (MWP) tidak dikuatkuasakan di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Justeru beliau menyeru NGO kedua-dua negeri agar tidak bimbang dan terbawa bawa dengan rang undang-undang tersebut

“Ini adalah rang undang-undang syariah di peringkat Persekutuan. Belum menjadi undang-undang, baru rang undang-undang saja.

Advertisement

“Kalau dipersetujui oleh wakil-wakil rakyat, ahli-ahli parlimen, ia akan hanya merangkumi Wilayah Perseketuan.

“Kenapalah NGO-NGO daripada Sabah dan Sarawak bersemangat? Belajarlah sikit,” kata Abdul Karim ketika ditemui di Kuching hari ini.

Tambah beliau, undang-undang Islam adalah bidang kuasa negeri dan RUU MWP tidak digunapakai di Sarawak dan Sabah.

Katanya, ia belum diluluskan lagi dan mungkin ada wakil-wakil rakyat yang tidak menyokong.

Sebelum ini, tular dakwaan daripada NGO yang mendakwa berasal daripada Sabah serta Sarawak menolak RUU MWP itu kononnya akan memberi kuasa besar kepada Mufti Wilayah Persekutuan. — DayakDaily