SAF 2026 di Bintulu sasar 800,000 pengunjung

5 hours ago 4
ADVERTISE HERE

KUCHING, 23 Sept: Sarawak Agrofest 2026 (SAF 2026) yang berlangsung di Bintulu dari 25 September hingga 4 Oktober ini menyasarkan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sasaran itu turut disokong oleh sambutan menggalakkan pada penganjuran tahun lalu.

“Pada tahun lepas kita menerima kunjungan 811,000 orang dan jumlah jualan RM6.5 juta. Ini bermakna memang sambutan yang begitu baik.

“Pada tahun ini kita sasarkan jumlah pengunjung lebih kurang juga seperti tahun lepas, antara 700,000 hingga 800,000 orang dan sasaran hasil jualan tahun ini adalah RM6.5 hingga 7 juta,” katanya dalam temubual eksklusif bersama TVS di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemilihan Bintulu sebagai lokasi SAF 2026 mengambil kira kedudukannya yang berada di tengah Sarawak serta mudah dikunjungi dari pelbagai zon di negeri ini, termasuk negara jiran, Brunei Darussalam.

Menurutnya, penganjuran SAF 2026 turut memberi tumpuan kepada pelbagai komoditi utama Sarawak seperti padi, nanas, sagu, nipah, kelapa sawit dan getah, selain memperkukuh sektor perikanan serta akuakultur.

“Contohnya, padi kita nak menggunakan varieti beras dan padi yang berhasil tinggi serta memodenkan skim pengairan di kawasan jelapang padi. Sasaran kita untuk projek padi berkomersial adalah 14,000 hektar menjelang tahun 2030.”

“Untuk buah-buahan, kita ada empat buah-buahan yang menjadi fokus kita, iaitu nanas, durian, pisang dan juga kelapa. Kita menyasarkan jumlah kawasan tanaman masing-masing 20,000 hektar menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

Bertemakan ‘Innovating Agriculture for Food Security’, SAF 2026 dianjurkan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) bagi mengetengahkan inovasi pertanian ke arah keterjaminan makanan.

Penganjuran itu turut selari dengan hala tuju kementerian menerusi Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan.

SAF 2026 akan berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dan dijangka disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 28 September, manakala majlis penutup akan disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom. – TVS

Read Entire Article