Safri Amit imbau pengalaman Sarawak beraksi di pentas Asia

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 16 Sep: Legenda bola sepak Sarawak, Safri Amit mengimbau kembali pengalaman skuad Sarawak beraksi di pentas Asia pada 1999, termasuk berdepan kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers.

Menurut Safri, Sarawak ketika itu berdepan Kashima Antlers dalam saingan suku akhir Asian Cup Winners’ Cup, yang ketika itu merupakan antara kejohanan kelab utama Asia sebelum struktur pertandingan kelab benua itu melalui beberapa perubahan.

Beliau berkata, pertemuan dengan kelab Jepun berkenaan menjadi antara pengalaman penting buat skuad Sarawak, khususnya apabila mereka berpeluang beraksi di Jepun menentang pasukan yang memiliki reputasi kukuh dalam bola sepak Asia.

“Pada 1999, Sarawak pernah bertemu Kashima Antlers untuk saingan AFC. Pernah juga beraksi di pentas AFC menentang pasukan Jepun dan sehingga kini pasukan itu antara pasukan terbaik di Jepun,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Dalam aksi timbal balik ketika itu, Sarawak tewas 2-4 kepada Kashima Antlers di Kuching sebelum mengalami kekalahan 0-10 dalam aksi kedua di Jepun.

Skuad Sarawak ketika itu dibarisi pemain tempatan, termasuk dua pemain bawah 21 tahun, manakala Kashima Antlers mempunyai beberapa pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa dan dibimbing bekas bintang Brazil, Zico.

Lebih dua dekad selepas pengalaman tersebut, pentas Asia sekali lagi menjadi medan buat wakil Sarawak apabila Kuching City FC membawa cabaran negeri itu dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2).

Kuching City FC dijadual membuka kempen ACL2 menentang Phnom Penh Crown pada Khamis ini, dengan aksi tersebut dijadual berlangsung pada jam 8.15 malam ( waktu Malaysia).

Read Entire Article