ADVERTISE HERE
KUCHING, 22 Sept: Projek pembangunan Samarahan Boulevard fasa kedua dengan kos siling RM70 juta bakal dibuka untuk tender tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) merupakan agensi pelaksana bagi projek berkenaan.
Menurutnya, pembangunan Samarahan Boulevard fasa pertama bernilai RM25 juta kini sedang berjalan dengan baik meskipun mengalami sedikit kelewatan dari segi kemajuan pelaksanaan.
Beliau yakin projek fasa pertama itu dapat disiapkan, manakala kos keseluruhan pembangunan Samarahan Boulevard dianggarkan bernilai RM127 juta.
“Dalam dua ke tiga tahun ke hadapan mungkin tiga tahun lah saya rasa kita akan melihat satu boulevard yang cukup cantik untuk kita mengadakan program-program tunggak.
“Seperti apa yang kita maklumkan kepada media, rakyat sebelum ini Kuching, Padang Central semakin sesak tiap-tiap kali acara diadakan di sana seluruh Kuching jem jadi kita merancang untuk membawa ini kepada Boulevard kita sendiri sesuatu yang yang kita model macam di Putrajaya,” katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Bil 2/2026 di Kuching pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Karim memaklumkan isu Projek Tebingan Sungai (waterfront) Kampung Tambirat fasa pertama berkemungkinan besar dibawa ke mahkamah atau diselesaikan menerusi rundingan antara kontraktor dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak selaku agensi pemantau pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau menegaskan usaha akan dilakukan bagi menyelamatkan projek tersebut kerana kepentingannya kepada masyarakat dan sebagai infrastruktur yang turut menyokong penganjuran acara besar seperti sukan air regatta.
Tambahnya, pembangunan fasa kedua Projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat turut akan dilaksanakan meliputi keseluruhan kampung berkenaan dengan panjang projek dianggarkan sehingga satu kilometer.
“Lebih kurang satu kilometer dan kita mahu ianya menjadi sesuatu yang amat dibanggakan oleh penduduk Kampung Tambirat dan alhamdulillah Yang Amat Berhormat telah bersetuju untuk projek yang fasa kedua itu dilaksanakan.
“Ia akan di tender ataupun akan di kenal pasti siapa yang akan mengendalikan projek tersebut di masa akan datang dam kosnya pun boleh tahan juga lebih kurang RM100 juta sudah pasti,” jelasnya. -TVS

1 hour ago
4








English (US) ·