ADVERTISE HERE
KUCHING, 19 Sept: Sarawak dan Pulau Pinang antara negeri yang diberikan fokus Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan kadar kelahiran di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kementeriannya turut mencadangkan program berkaitan kesuburan.
“Program kesuburan ini penting kerana jumlah penduduk kita masih rendah dan kita mahu meningkatkannya. Jadi, kita turut mencadangkan program berkaitan kesuburan.
“Sarawak dan Pulau Pinang antara negeri yang perlu diberi fokus kerana kita mahu meningkatkan kadar kelahiran,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Opening Ceremony of Perantis-Pendaya 2.0 di sini, hari ini.
Ujarnya program berkenaan turut merangkumi usaha membantu pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat termasuk beberapa program di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang antara persenyawaan in vitro (IVF).
Walaupun program berkaitan sudah dilaksanakan, namun kementerian mahu memberi tumpuan bagi tahun depan untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda mempunyai anak.
“Bagi kami, tumpuannya lebih kepada program yang boleh menggalakkan mereka melahirkan anak. Tetapi saya fikir kita perlukan lebih banyak usaha dan persediaan perlu ditingkatkan di negara kita,” katanya lagi.
Dalam masa sama beliau berkata terdapat kajian berkaitan kadar kesuburan yang boleh digunakan bagi meningkatkan kadar kelahiran di Malaysia bagaimanapun katanya peratusan dan hasil kajian berkenaan akan dikongsikan pada masa akan datang.
Sementara itu mengenai Perantis Pendaya 2.0, Nancy berkata seramai 400 penyertaan peserta Sarawak dalam program hari ini dan berharap penyertaan itu dapat ditingkatkan pada tahun depan, selain melihat lebih banyak produk unik diketengahkan, termasuk dalam bidang muzik, orkestra dan seni. – TVS

1 hour ago
3








English (US) ·