SK Tanjong Bako daif, tidak selamat, perlukan tapak tanah baharu — Nancy

10 months ago 108
ADVERTISE HERE
Nancy (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar SK Tanjong Bako. Foto: TVS

KUCHING, 24 Jan: Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako yang dikategorikan sekolah daif memohon agar diberikan tapak tanah untuk membangunkan bangunan sekolah baharu.

Menurut laporan TVS, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, ia berikutan lokasi sedia ada berbahaya untuk seluruh warga sekolah terutamanya para pelajar.

“Permohonan itu wajar dipertimbangkan susulan keadaan sekolah itu tidak sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

“Saya difahamkan sekolah ini telah memohon tanah untuk dipindahkan sekolah ini kerana keadaan mereka di situ yang sedia ada ini dimasuki air dan juga ada bangunan sekolahnya langsung tidak dapat diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program ‘Back to School’ di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Bako di sini pada Selasa (23 Jan).

Nancy dalam pada itu mendedahkan dirinya gemar untuk turun padang demi melihat serta menilai sendiri keadaan sekolah yang dikategorikan daif bagi mengenal pasti keperluan dan bantuan yang diperlukan.

“Apa yang kekurangan, apa yang boleh kita lakukan untuk menambah baik lagi terutama sekali sekolah di luar bandar masih banyak yang daif lagi.

“Kerajaan hanya bercakap mengenai membantu sekolah daif.

“Tetapi adalah menjadi tanggungjawab kami sebagai Ahli Parlimen untuk melihat sendiri dan menyuarakan sendiri dengan menteri supaya boleh disegerakan segala yang perlu dilakukan di setiap sekolah daif ini,” ujarnya.

Sementara itu, majlis menyaksikan seramai 146 orang pelajar SK Tanjong Bako hari ini menerima sumbangan berupa pakaian seragam sekolah, beg sekolah, kasut, stoking, kotak pensel dan set alat tulis yang disumbangkan Yayasan Sime Darby (YSD). — DayakDaily

Read Entire Article