Spektrum tambahan kurangkan kesesakan rangkaian

10 hours ago 5
ADVERTISE HERE

KUCHING, 29 Sept: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memohon spektrum tambahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengurangkan kesesakan rangkaian telekomunikasi ketika berlaku peningkatan penggunaan.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata permohonan itu antara usaha memperkukuh kemudahan telekomunikasi selain memastikan pengguna mendapat perkhidmatan lebih baik.

Beliau berkata, penggunaan kemudahan dalam talian secara lebih berhemah dan positif juga perlu digalakkan berbanding aktiviti dalam talian yang tidak memberikan manfaat.

“Penggunaan lebih berhemah dan positif digalak berbanding penggunaan dalam talian yang tidak menguntungkan,” katanya menerusi kenyataan susulan perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan telekomunikasi.

Perbincangan pada Isnin itu disertai wakil MCMC, Sarawak Multimedia Authority, Sarawak Digital Economy Corporation, SACOFA dan Sarawak Information Systems.

Julaihi berkata lagi, isu kabel dan gentian optik yang putus atau rosak akibat kegiatan vandalisme serta kecurian turut dibincangkan, dengan penguatkuasaan dan kerjasama semua pihak diperlukan bagi menanganinya.

Katanya, kerja penyelenggaraan kemudahan telekomunikasi juga wajar dilaksanakan secara lebih sistematik dan berkesan, terutama membabitkan menara yang condong serta kabel dan talian yang berjuntai rendah ke permukaan bumi.

“Pembersihan tumbuhan menjalar di menara, kabel dan talian juga perlu dilakukan segera.

“MCMC dipertanggungjawabkan dengan tugas ini tetapi dengan kerjasama semua agensi telekomunikasi dan bajet terkumpul.

“SMA sebagai pengawal selia ada tanggungjawabnya sendiri berdasarkan ordinan yang sedia ada. Pokoknya semua pihak wajib bekerjasama,” katanya.

Menurutnya, kerjasama lebih rapat antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi juga amat diperlukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Katanya, teknologi Multi Operator Core Network (MOCN) boleh digunakan secara bersama oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi membolehkan pelanggan mendapat manfaat perkhidmatan secara maksimum di mana sahaja mereka berada.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan premis yang bergantung kepada transaksi dalam talian, termasuk stesen minyak, memasang talian tetap sebagai sambungan utama, manakala perkhidmatan mudah alih digunakan sebagai sambungan sandaran.

Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan urusan pelanggan dapat diteruskan tanpa gangguan, terutama ketika berlaku masalah pada salah satu rangkaian.

“Transaksi dalam talian seperti stesen minyak dicadang dan digalak memasang talian tetap sebagai talian tetap dan talian mudah alih sebagai khidmat sokongan supaya pelanggan mendapat faedah tanpa gangguan seperti subsidi kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Read Entire Article