Suami isteri antara tiga ditahan cuba seludup dadah ke Miri

3 months ago 53
ADVERTISE HERE

SEPANG: Sepasang suami isteri antara tiga individu ditahan selepas disyaki cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 36.53 kilogram (kg) bernilai RM1.2 juta ke Miri, Sarawak.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (gambar) berkata kesemua yang berusia 24 hingga 34 tahun itu ditahan di kawasan letak kereta sebuah kondominium di sini pada 10.30 pagi, 24 Jan lepas dipercayai dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk ke Miri.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap tiga bagasi mereka menemukan 38 bungkusan mampat dadah disyaki jenis methamphetamin atau syabu.

“Ujian air kencing mendapati kesemuanya positif terhadap dadah jenis amphetamin dan methamphetamin,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini hari ini.

Menurut Hussein penahanan terhadap mereka dilakukan berdasarkan hasil maklumat pasukan polis di Miri yang menahan seorang lelaki menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur pada pagi sama kerana membawa dadah jenis sama.

Beliau berkata ketiga-tiga individu itu dipercayai menerima upah sebanyak RM10,000 bagi penghantaran dadah dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Hussein berkata pihaknya menahan empat lelaki berusia 20 hingga 33 tahun dalam dua serbuan berasingan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Karak, Gombak dan Ampang pada 25 Jan lepas serta merampas dadah jenis ganja seberat 10.51 kg dianggarkan bernilai RM33,000.

Menurut Hussein polis menahan tiga lelaki dan merampas 10 ketulan mampat dadah disyaki ganja sebelum menahan seorang lagi lelaki di sebuah kawasan di Ampang pada hari sama.

Kesemua mereka yang didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dengan tiga daripadanya positif terhadap dadah jenis THC kini direman untuk siasatan lanjut. -Bernama

Read Entire Article