ADVERTISE HERE
KUALA LUMPUR, 21 Sept: Terengganu dijangka menjadi venue terbaharu bagi sukan ekuestrian acara endurance pada Sukan SEA Malaysia 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata hal itu susulan Kerajaan Negeri Terengganu sudah menyatakan minat secara rasmi untuk menganjurkan acara endurance, selain mempunyai pengalaman luas menganjurkan kejohanan antarabangsa dalam disiplin berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih pada peringkat cadangan dan beberapa aspek perlu diambil kira termasuklah tahap kesiapsiagaan venue berkenaan.
“Setakat ini, belum ada keputusan, tetapi kita menjangkakan disiplin endurance untuk sukan ekuestrian akan dibuat di Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman kerjasama antara MASOC dengan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan MSN Safrushahar Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26 Emir Abdul Jalal.
Rashid berkata Terengganu bukan sebahagian daripada kluster utama, namun venue berkenaan dilihat mempunyai kelebihan kerana bertaraf antarabangsa.
“Trek endurance yang terbaik adalah di Terengganu kerana sekurang-kurangnya tiga kali setahun acara endurance antarabangsa dijalankan di negeri ini.
“Jadi, tahap kesiapsiagaan mereka dari segi penganjuran acara memang sangat tinggi,” katanya.
Sebelum ini, empat kluster utama Sukan SEA Malaysia 2027 sudah ditetapkan, iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Sarawak dan Pulau Pinang, manakala Langkawi turut dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai untuk acara pelayaran. -TVS

1 day ago
7








English (US) ·