Tiga jambatan Long Jekitan dinaik taraf secara berperingkat

9 hours ago 1
ADVERTISE HERE

MIRI, 29 Sept: Tiga jambatan di Long Jekitan iaitu Jambatan Sungai Tebao, Sungai Sengayan dan Sungai Lakat akan dinaik taraf secara berperingkat bagi menambah baik kemudahan perhubungan penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, permohonan berkaitan telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala kerja-kerja baik pulih dan naik taraf sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada perhatian berterusan terhadap keperluan infrastruktur dan kemudahan asas masyarakat di kawasan pedalaman.

Bagi jaringan jalan raya, beliau berkata perancangan jangka panjang turut melibatkan usaha menaik taraf jalan dari Long Jekitan ke Lapok secara berperingkat.

“Usaha ini selaras dengan persetujuan Premier Sarawak supaya jalan-jalan balak yang sebelum ini berada di bawah syarikat pembalakan diambil alih oleh Kerajaan Sarawak bagi membolehkan jalan-jalan berkenaan ditambah baik secara berperingkat untuk manfaat rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Long Jekitan kini telah menikmati bekalan elektrik dan kemudahan telekomunikasi, manakala projek bekalan air bersih sedang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).

Beliau berkata, usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan berkenaan akan terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan masyarakat dapat dipenuhi secara berperingkat.

Dalam perkembangan berkaitan, Gerawat turut menyampaikan bantuan kepada 10 keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Long Jekitan menerusi Pusat Khidmat ADUN N.78 Mulu.

“Saya akan terus membawa dan menyusuli perkara berkaitan dengan agensi kerajaan yang berkenaan supaya keperluan rakyat di Long Jekitan dan kawasan N.78 Mulu terus mendapat perhatian,” katanya. – TVS

Read Entire Article