ADVERTISE HERE
KUCHING, 1 Okt: Kontinjen Sarawak tampil bersatu di pentas kebangsaan menerusi penyertaan 69 gimnas daripada pelbagai sekolah dan kelab pada Piala AGG Dato’ Malek 2026 dan Kejohanan AGG Malaysia 2026 di Endah Parade, Kuala Lumpur.
Menurut Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Negeri Sarawak (SAGGA) dalam kenyataan, penyertaan pada 26 dan 27 September lalu bukan sekadar memburu pingat, sebaliknya turut menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan gimnas, jurulatih dan keluarga di bawah satu pasukan, kontinjen Sarawak.
“Gimnas daripada sekolah dan kelab berbeza berlatih, mengembara, saling menyokong serta meraikan kejayaan bersama, sekali gus mencerminkan semangat Kumpulan Estetik Gimnastik yang menekankan kerjasama, kepercayaan dan matlamat bersama,” menurut kenyataan itu.
Kontinjen berkenaan menghimpunkan gimnas daripada SJK (C) Chung Hua Sungai Lubak, SJK (C) Chung Hua No. 6, SJK (C) Sungai Apong, Rainbow Rhythmic Gymnastics Club Sibu, Mine Dance Studio dan Track & Dance.
Menurut SAGGA, penyertaan di Kuala Lumpur turut memberi peluang kepada gimnas Sarawak merasai pengalaman beraksi di pentas kebangsaan, selain mengenali rakan sepasukan baharu dan saling belajar.
Pada Piala AGG Dato’ Malek 2026, kontinjen Sarawak meraih antaranya tempat pertama menerusi S.L. Elite dari SJK (C) Sungai Apong dalam kategori Sekolah Bawah 12 Tahun, serta TD Elite Prime dari Track & Dance bagi Program Pendek IFAGG 8 hingga 10 Tahun.
Dalam Kejohanan AGG Malaysia 2026 pula, Lubak Phoenix dari SJK (C) Chung Hua Sungai Lubak meraih tempat kedua, manakala Hexa Heroes dari SJK (C) Chung Hua No. 6 dan Night Stone dari Track & Dance masing-masing menduduki tempat ketiga dalam kategori masing-masing.
“Pencapaian terbesar tidak hanya diukur melalui jumlah pingat, tetapi turut merangkumi kemampuan gimnas daripada sekolah dan kelab berbeza untuk berdiri bersama, saling memberi sokongan dan meraikan kejayaan rakan sepasukan,” menurut kenyataan itu.
SAGGA turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kumpulan Estetik Gimnastik Malaysia (MAGGA), hakim, pegawai teknikal, pegawai pertandingan, jawatankuasa penganjur, sukarelawan, jurulatih serta semua pihak yang menjayakan kedua-dua pertandingan berkenaan.
Kontinjen Sarawak diketuai Chef de Mission, Aidwina Aidan Wing, dengan penyertaan 69 gimnas yang mewakili Program IFAGG, Program NAD dan Program Compulsory.-TVS

4 hours ago
6








English (US) ·