KCFC tingkat keselamatan, persiap Stadium Taha Ariffin hadapi pentas Asia

1 day ago 7
ADVERTISE HERE

KUCHING, 30 Sept: Aspek keselamatan dan pengurusan perlawanan menjadi antara fokus utama Kuching City FC (KCFC) menjelang aksi sulung di pentas Asia dan ASEAN, apabila Stadium Taha Ariffin bakal menerima kehadiran penyokong serta rombongan pasukan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihak kelab mengambil langkah proaktif dengan menambah jumlah petugas keselamatan dan marshal bagi memastikan kelancaran perjalanan setiap perlawanan.

“Kita akan meningkatkan marshal atau petugas keselamatan untuk memastikan kita tidak menghadapi sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya pada sidang media di Stadium Taha Ariffin, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pasukan keselamatan KCFC turut dihantar menghadiri beberapa perlawanan berprofil tinggi di luar Kuching, termasuk di Kuala Lumpur (KL) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), bagi mempelajari kaedah pengurusan penyokong serta kawalan keselamatan yang lebih berpengalaman.

“Kita hantar mereka ke beberapa perlawanan besar seperti di KL dan JDT supaya mereka dapat melihat dan belajar daripada pihak yang lebih berpengalaman mengendalikan isu seperti ini,” jelasnya.

Selain kawalan keselamatan, KCFC turut memberi perhatian kepada keseluruhan ekosistem hari perlawanan termasuk laluan penyokong, kawasan luar stadium dan penempatan penjaja bagi memastikan semuanya lebih tersusun mengikut keperluan pertandingan antarabangsa.

Menurut Fazzrudin, persediaan itu penting memandangkan Stadium Taha Ariffin bakal menjadi pentas pertemuan pasukan dari luar negara termasuk wakil Korea Selatan, Hong Kong, Singapura dan Kemboja dalam saingan Asia serta ASEAN.

Beliau menambah, pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang baharu buat KCFC, namun pihak kelab komited memastikan stadium berkenaan menjadi gelanggang yang selamat dan selesa untuk semua pihak.

“Ini perkara baharu kepada kita dan kita masih belajar. Sudah tentu kita akan berdepan beberapa cabaran, tetapi kita akan menangani perkara tersebut dari semasa ke semasa,” ujarnya. – TVS

Read Entire Article