ADVERTISE HERE
KUCHING, 30 Sept: Persatuan Bina Badan Sarawak bakal menganjurkan Pink Dumbbell Run 2027 pada 21 Mac 2027 di Foyer Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), dengan acara larian 3 dan 5 kilometer (KM).
Acara yang bermula jam 6 pagi itu membawa tema “Strong Body, Strong Mind, Beautiful You”, dengan fokus menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, selain memupuk keyakinan diri serta kesejahteraan masyarakat.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menyambut baik penganjuran itu yang disifatkan sebagai platform untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur, di samping memperkukuh budaya hidup sihat serta semangat komuniti di Kuching.
Selain aspek kecergasan, hasil penganjuran Pink Dumbbell Run akan disalurkan bagi membantu menampung kos operasi dan penyertaan atlet bina badan Sarawak di kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Presiden Persatuan Bina Badan Sarawak, Dr Malvern Abdullah, berkata pencapaian atlet Sarawak di peringkat antarabangsa membuktikan potensi yang dimiliki mereka.
Pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Asia Ke-58 2026 di Bangkok, Thailand, Siti Hadjar Binti Mansur Awang Hitam meraih pingat emas dalam kategori Bina Badan Wanita Senior sehingga 55 kilogram, manakala Azri Bin Asmat Sefri menduduki tempat keempat dalam kategori Bina Badan Lelaki Senior sehingga 60 kilogram.
Menurutnya, sokongan berterusan penting bagi membolehkan atlet Sarawak menyertai lebih banyak kejohanan berprestij dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Pink Dumbbell Run 2027 turut menampilkan lima Mini Gym Challenges anjuran Turbo Fitness, merangkumi Push-Up, Pull-Up, Dead Hang, Squat dan Plank Challenge.
Yuran penyertaan ditawarkan antara RM15 hingga RM55, bergantung kepada pakej yang dipilih, dengan peserta turut menerima kemudahan seperti baju-T rasmi, pingat penamat, nombor bib dan peluang menyertai cabutan bertuah serta aktiviti sampingan.
Pendaftaran dibuka sehingga 21 Februari 2027.
Penganjur menyasarkan acara berkenaan mendapat sambutan masyarakat dan berkembang sebagai acara kecergasan serta komuniti tahunan di Kuching. – TVS

23 hours ago
8








English (US) ·