ADVERTISE HERE
KUCHING, 30 Sept: Transformasi Stadium Taha Ariffin bukan hanya melibatkan kemudahan fizikal, malah turut membawa perubahan kepada pengalaman penyokong apabila sistem tempat duduk bernombor mula diperkenalkan bagi perlawanan antarabangsa Kuching City FC (KCFC).
Pengerusi Eksekutif KCFC, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, perubahan itu memerlukan tempoh penyesuaian kerana sebelum ini kebanyakan penyokong terbiasa dengan konsep tempat duduk bebas.
“Bila dah ada kerusi bernombor, kita dapat menempatkan 17,584 penonton. Ini perkara baharu untuk penyokong kita kerana sebelum ini kebiasaannya penyokong menggunakan konsep tempat duduk bebas,” katanya pada sidang media di Stadium Taha Ariffin, di sini, hari ini.
Menurut Fazzrudin, perlawanan persahabatan menentang Sabah FC esok akan digunakan sebagai percubaan untuk membiasakan penyokong dengan sistem baharu itu sebelum aksi kompetitif di pentas Asia dan ASEAN.
“Kita akan mulakan dengan sistem blok dan sektor dahulu. Sekurang-kurangnya penyokong sudah tahu, kalau blok C atau sektor B104, mereka tahu di mana lokasi tersebut sebelum mencari nombor kerusi masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan perjalanan hari perlawanan lebih tersusun, terutama apabila Stadium Taha Ariffin bakal menerima kehadiran penyokong tempatan serta rombongan pasukan luar negara dalam saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF). – TVS

1 day ago
8








English (US) ·