ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan isu antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) boleh diselesaikan, dengan rundingan kini tertumpu kepada beberapa aspek komersial yang perlu dimuktamadkan.
Beliau berkata, prinsip utama yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak kekal menjadi asas dalam rundingan berkenaan, termasuk dalam memastikan kepentingan Sarawak terus diberi perhatian.
“Saya hendak memberi jaminan di sini pada 16 September kepada kita semua bahawa tidak mungkin hal ini tidak boleh dileraikan.
“Prinsip yang sudah kita muktamadkan kekal, dan hanya beberapa aspek perjanjian komersial yang kini perlu diutamakan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Menurut Anwar, peningkatan keupayaan Sarawak dalam industri minyak dan gas turut membawa kepada aspirasi negeri itu untuk diberikan ruang lebih besar menerusi Petros.
“Rakyat Sarawak juga merasakan harus punya peluang dan kesempatan. Maka diwujudkan PETROS,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan PETRONAS merupakan syarikat tenaga bertaraf nasional dan antarabangsa, manakala keupayaan PETROS turut diperkasa.
“Mari kita sama-sama bimbing dan angkat keupayaan PETROS sebagai syarikat kita bersama. Itu sikap kita,” jelasnya.
Rundingan melibatkan PETRONAS dan PETROS sebelum ini menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam hubungan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, termasuk dalam konteks pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata peningkatan harga minyak mentah dunia turut memberi tekanan kepada kos tenaga, namun Kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan untuk tidak membebankan rakyat dengan memastikan harga bahan api domestik kekal terkawal. – TVS

1 hour ago
6








English (US) ·