Budaya menghargai pendidikan perlu terus diwarisi generasi muda

1 hour ago 4
ADVERTISE HERE

MIRI, 19 Sept: Budaya menghargai pendidikan yang diamalkan masyarakat Cina sejak dahulu perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya bagi memastikan kepentingan pendidikan kekal menjadi nilai utama dalam masyarakat.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penekanan terhadap pendidikan merupakan antara nilai yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Cina dan menyumbang kepada pencapaian generasi hari ini.

Menurutnya, generasi terdahulu sanggup berkorban dan berusaha memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik, termasuk membangunkan sekolah serta menyediakan kemudahan pendidikan dalam komuniti.

“Nilai budaya masyarakat Cina ialah sentiasa menitikberatkan pendidikan. Generasi terdahulu banyak berkorban dan bekerja keras untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan, dan nilai ini perlu terus kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Pesta Pertengahan Musim Luruh dan Penyampaian Insentif Pendidikan 2026 Persatuan Vui Neng Bahagian Miri di sini, malam tadi.

Tambah beliau, peluang Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang disediakan kerajaan Sarawak turut memberi ruang kepada anak Sarawak yang memenuhi syarat untuk melanjutkan pengajian tanpa dibebani kos yuran pengajian.

“Dengan adanya peluang pendidikan percuma, anak-anak Sarawak yang memenuhi syarat mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian, manakala ibu bapa dapat mengurangkan beban kewangan dalam membiayai pendidikan anak-anak,” katanya lagi.

Jelas beliau, usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan penting bagi memastikan generasi muda mempunyai peluang untuk meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pembangunan Sarawak. – TVS

Read Entire Article