ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Kerajaan menambah baik pelaksanaan BUDI Diesel dengan memperluas kemudahan pemindahan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak, selain membenarkan pemilik berdaftar memindahkan kelayakan bagi sehingga tiga kenderaan diesel, berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan itu dibuat selepas mengambil kira keluhan dan maklum balas rakyat, khususnya pengguna kenderaan pikap dan jip diesel di Sabah dan Sarawak, meskipun had kelayakan bagi pemilik kenderaan berkenaan yang layak telah dinaikkan sehingga 400 liter sebulan.
“Kerajaan bersetuju untuk menambah baik BUDI Diesel. Pertama, kemudahan pemindahan kelayakan akan diperluas kepada mana-mana warganegara Malaysia yang layak dan tidak lagi terbatas kepada ahli keluarga terdekat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam ini.
Anwar berkata kelonggaran turut diberikan kepada individu yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan diesel berdaftar atas nama mereka, dengan pemindahan kelayakan dibenarkan bagi setiap kenderaan sehingga maksimum tiga kenderaan.
“Ini berkuat kuasa serta-merta. Kerajaan efisien, umum hari ini, lepas ini terus dibenarkan tiga kenderaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bantuan khas pembelian tiket penerbangan secara sekali beri sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu institusi pengajian tinggi awam yang layak bagi sesi kemasukan September dan Oktober tahun ini.
Menurutnya, bantuan yang melibatkan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti itu dijangka memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk memulakan pengajian. – TVS

1 hour ago
7








English (US) ·