Bunuh rakan: Hukuman mati bekas pekerja kilang diganti penjara 34 tahun

2 hours ago 4
ADVERTISE HERE

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati dua bekas pekerja kilang yang didapati bersalah membunuh rakan mereka 13 tahun lepas dengan penjara 34 tahun dan 12 sebatan.

V. Veeran, 41, dan M.S. Sasitharan, 32, juga diperintah menjalani hukuman masing-masing dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 23 Jun dan 25 2014.

Panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kedua-dua tertuduh untuk mengetepikan hukuman mati terhadap mereka dan menggantikannya dengan penjara seumur hidup.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah.

Permohonan semakan kedua-dua tertuduh difailkan susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai tahun lepas.

Pada 2016, Veeran dan Sasitharan telah didapati bersalah membunuh S.Vijaindran, 24, yang diserang di kaki lima laluan antara dua kedai di Jalan Tasek SS/1 Bandar Tasik Mutiara, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang pada kira-kira 11 malam 4 Jun 2011.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman gantung ke atas mereka dan rayuan kedua-dua tertuduh ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2017 serta Mahkamah Persekutuan pada 2019.

Terdahulu, peguam T. Vijayandran yang mewakili Veeran dan peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Sasitharan, memohon mahkamah agar menggantikan hukuman mati dengan penjara.

Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi pula memohon mahkamah mengekalkan hukuman mati atas alasan cara pembunuhan itu dilakukan adalah amat kejam.

Beliau berkata berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah mengejar dan menyerang mangsa dengan parang sehingga menyebabkan 22 luka akibat tikaman.

Read Entire Article