ADVERTISE HERE
SPAOH, 17 Sept: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) terbuka untuk membincangkan cadangan penubuhan pusat pengumpulan atau kilang memproses lada di Bahagian Betong.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya akan meminta Lembaga Lada Malaysia (MPB) meneliti secara terperinci cadangan berkenaan, mengambil kira potensi Betong sebagai antara kawasan pengeluaran lada di Sarawak.
Katanya, Bahagian Betong kini mempunyai 5,070 pekebun lada dengan keluasan tanaman kira-kira 1,102.8 hektar.
“Kita terbuka kepada perbincangan mengenai perkara itu. Bagaimanapun, saya akan meminta Lembaga Lada Malaysia meneliti secara terperinci cadangan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kemampanan Industri Lada 2026 di Spaoh, di sini, hari ini.
Menurutnya, beberapa perkara bagi memperkukuh industri lada di Sarawak, khususnya Betong, turut dibincangkan bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Katanya, perbincangan itu termasuk koordinasi antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam membantu meningkatkan pendapatan pekebun lada, selain memperkukuh kemahiran petani serta penyampaian bantuan dan insentif kepada komuniti pekebun.
“Kementerian akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan dasar, program dan sumber yang ada untuk memajukan industri pertanian, termasuk lada, dapat saling melengkapi,” katanya. – TVS

1 hour ago
7








English (US) ·