Hospital Miri hampir capai sasaran 10,000 penderma darah

57 minutes ago 6
ADVERTISE HERE

MIRI, 16 Sept: Bank darah Hospital Miri telah menerima kira-kira 6,000 penderma setakat Ogos tahun ini, dengan 4,000 lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 10,000 penderma menjelang akhir tahun.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sasaran itu memerlukan komitmen berterusan daripada masyarakat serta pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang aktif menganjurkan kempen derma darah.

Menurutnya, bank darah Hospital Miri menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 penderma setiap bulan bagi memastikan bekalan darah hospital berkenaan kekal mencukupi.

“Setakat Ogos, kita sudah memperoleh kira-kira 6,000 penderma. Jadi, masih ada sekitar 4,000 lagi yang diperlukan untuk mencapai sasaran 10,000 penderma tahun ini.

“Pada masa sama, kita berharap dapat memperoleh sekurang-kurangnya 1,000 penderma setiap bulan sehingga penghujung tahun supaya sasaran itu dapat dicapai atau, kalau boleh, melebihinya,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Program Derma Darah Hari Malaysia 2026 di Dewan Aster, di sini, hari ini.

Tambahnya, budaya pendermaan darah secara sukarela di Miri telah berkembang hasil kerjasama berterusan antara masyarakat, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Hospital Miri sejak beberapa dekad lalu.

Miri katanya berjaya mencapai 100 peratus penderma darah sukarela sejak 1979, sekali gus membantu Hospital Miri memastikan bekalan darah mencukupi tanpa perlu bergantung kepada penderma gantian.

“Ini merupakan satu pencapaian hasil kerjasama masyarakat bersama Bulan Sabit Merah Malaysia dan Hospital Miri. Malah, Hospital Miri juga pernah menyalurkan bekalan darah kepada hospital lain seperti Marudi dan Limbang apabila diperlukan,” tambahnya.

Beliau turut menghargai komitmen persatuan dan badan bukan kerajaan yang konsisten menganjurkan kempen derma darah, termasuk program secara bergerak.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan kutipan darah dapat diteruskan secara konsisten dan bekalan di Bank Darah Hospital Miri sentiasa mencukupi.

Program Derma Darah Hari Malaysia 2026 bertemakan “Dihubungkan oleh Darah, Disatukan oleh Kasih Sayang” dianjurkan bersama Persatuan Guang Ning Miri dan Pasukan Pengambilan Penderma Darah, Cawangan Bulan Sabit Merah Malaysia Miri.

Program turut menyediakan saringan kesihatan percuma meliputi pemeriksaan tekanan darah, paras glukosa darah dan ujian asid urik. – TVS

Read Entire Article