Kepelbagaian komoditi perkasa pendapatan petani Sarawak

1 hour ago 10
ADVERTISE HERE

SPAOH, 17 Sept: Kerajaan Sarawak menggalakkan para petani mempelbagaikan tanaman dengan mengusahakan komoditi yang mempunyai nilai pasaran dan potensi eksport tinggi bagi meningkatkan sumber pendapatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan petani mempunyai sumber pendapatan tambahan selain mengurangkan risiko sekiranya berlaku penurunan harga sesuatu komoditi.

“Jadi ini bukan untuk menggantikan tetapi untuk menyokong supaya mereka boleh menambah keuntungan pendapatan dan apabila satu komoditi harganya turun ada satu komoditi yang mungkin akan menyelamatkan petani daripada terjejas akibat penurunan harga.

“Kita minta juga Kementerian mencari cara bagaimana untuk membantu petani dengam harga baja kita yang naik dan juga cara-cara yang lain dan kami juga mahu para petani di Sarawak untuk mendaftar dalam budi agri Komoditi kerana ada bantuan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak kekal komited mencari pendekatan sesuai bagi meningkatkan pendapatan petani menerusi usaha di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), termasuk kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Beliau berkata, sokongan turut diberikan dalam mengenal pasti kaedah serta penggunaan teknologi yang sesuai bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran pertanian untuk manfaat para petani.

“Dengan adanya program yang seperti ini sekurang-kurangnya mereka akan mendedahkan potensi pertanian yang adalah potensi yang besar yang kita harus terus bangunkan dan tadi kita nampak beberapa orang yang dapat sijil, dapat jadi Duta Skuad Agrikomoditi dalam program ini tadi mereka semua orang muda-muda dan inlah yang kita nak galakkan kerana sekarang industri pertanian semua masyarakat dewasa.

“Jadi kita harap yang muda-muda juga tertarik sehingga mereka menggunakan teknologi, menggunakan produksi baru, produktiviti baru dan kita juga menentukan bahawa seperti sekarang betong mengeluarkan menjual lada segar tapi di situ kalau kita pergi ke kawasan hilir satu kita dapat membuka peluang pekerjaan kedua ia hanya dapat meningkatkan pendapatan petani,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Seminar Kemampanan Industri Lada Tahun 2026 di Spaoh pada Khamis.

Uggah berkata, program yang memberi pendedahan mengenai potensi pertanian perlu terus diketengahkan sebagai platform panduan dan informasi kepada komuniti pertanian, termasuk golongan muda.

Katanya, kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan syarikat swasta turut digalakkan bagi memastikan lebih banyak produk pertanian Sarawak dapat diangkat dan dimajukan.

Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan pendapatan rakyat termasuk para petani sehingga RM15,000 setiap keluarga.

Seminar Kemampanan Industri Lada Tahun 2026 anjuran Lembaga Lada Malaysia turut menyaksikan pelantikan tiga Duta Skuad Agrikomoditi, Sektor Lada serta penyampaian Anugerah Industri Lada Malaysia (AILM) 2025.

Anugerah berkenaan melibatkan kategori Pekebun Kecil Terbaik, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Terbaik serta Pengeksport Lada Terbaik.

Turut diadakan simbolik penyerahan bantuan bagi kategori Penanaman Lada Premium, Pengurusan Tanaman Lada Matang, Bantuan Fasiliti dan Kemudahan Ladang serta Bantuan Mekanisasi Kebun dengan jumlah keseluruhan RM1.202 juta.

Bantuan berkenaan memberi manfaat kepada 150 pekebun melibatkan tanaman seluas 43.2 hektar di Betong.

Majlis sama turut menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Sarawak Oil Palms Berhad (SOPB), serta MPB bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad. -TVS

Read Entire Article