ADVERTISE HERE
Oleh Chris Bishop
KUCHING, 15 Julai: Keselamatan siber tonggak penting apabila ekonomi digital merupakan dasar kepada penggerak utama pembangunan ekonomi di Sarawak.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, dalam Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030),keselamatan siber adalah di bawah tonggak asas kepada ekonomi digital.
“Antara senarai asas bagi ekonomi digital adalah untuk mempercepatkan kesediaan digital dalam infrastruktur dan ketersambungan.
“Ia juga melibatkan tadbir urus dan keselamatan siber, bakat dan kemahiran digital, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan serta keterangkuman,” kata Liwan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Perasmian Bengkel Keselamatan Siber anjuran Sarawak Multimedia Authority (SMA) hari ini.
Menurut Liwan lagi, menjelang tahun 2030, Kerajaan Sarawak menyasarkan perkhidmatan atas talian sepenuhnya bagi memudahkan orang menjalankan aktiviti perniagaan dan pelaburan.
Dengan memiliki keselamatan siber yang terjamin, katanya, para pelabur berasa untuk menjalankan perniagaan di Sarawak.
“Ini sekali gus melonjak tahap ekonomi Sarawak ke peringkat yang lebih di mata dunia,” ujarnya. — DayakDaily