KPN teliti cadangan sambutan Hari Malaysia diadakan bergilir di setiap negeri

1 hour ago 5
ADVERTISE HERE

SEGAMAT, 19 Sept: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersedia meneliti cadangan supaya Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan dianjurkan secara bergilir-gilir di setiap negeri pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, pendekatan itu dilihat sebagai satu cadangan yang baik kerana dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat di seluruh negara menghayati sambutan berkenaan.

“Saya rasa itu adalah saranan yang baik. Bagus juga kalau kita buat negeri ke negeri, tetapi saya rasa kementerian akan meneliti cadangan itu terlebih dahulu dan bagaimana kita hendak melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tekad Komuniti, Semarak Perpaduan (TKSP) 2026 anjuran KPN menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini, hari ini.

Menurut Yuneswaran, penganjuran sambutan Hari Malaysia di Sabah dan Sarawak mempunyai nilai signifikan kerana kedua-dua wilayah itu mempunyai kaitan langsung dengan sejarah pembentukan Malaysia.

Bagaiamanapun, beliau berkata, kementerian terbuka untuk mempertimbangkan pandangan serta cadangan berkaitan pendekatan penganjuran sambutan berkenaan di negeri lain, selagi ia menepati objektif Hari Malaysia.

“Jadi, kita akan lihat bagaimana kita boleh laksanakannya dan pastinya ia akan mengambil kira kesesuaian serta objektif sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Cadangan supaya sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir-gilir sebelum ini disuarakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berpandangan pendekatan itu dapat memberi ruang kepada rakyat di setiap negeri untuk menghayati sambutan berkenaan secara lebih menyeluruh.

Wan Junaidi turut mencadangkan supaya sejarah serta latar belakang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diketengahkan sebagai antara pengisian utama sambutan bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai pembentukan Malaysia.

Menurut beliau, pengisian berkenaan penting bagi memperkukuh kefahaman terhadap sejarah negara serta memupuk semangat perpaduan nasional tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah. – TVS

Read Entire Article