ADVERTISE HERE
TANJUNG MANIS, 19 Sept: Kerajaan Sarawak memperuntukkan lebih RM80 juta bagi pembinaan jalan raya baharu sepanjang 5.8 kilometer yang menghubungkan sembilan rumah panjang di Mupong dengan penempatan Teluk Gelam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, projek berkenaan dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan turut merangkumi tiga jalan cabang serta dua jambatan baharu.
“Projek ini bakal memberi manfaat besar kepada penduduk, terutama di kawasan Teluk Gelam yang masih bergantung kepada sungai sebagai jalan perhubungan.
“Jalan ini akan menghubungkan Mupong, Sibu dan Tanjung Manis, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Penempatan Baru Nelayan RGC, Pulau Bruit dan Penempatan Rumah Panjang Mupong, hari ini.
Abdullah berkata, penduduk Mupong turut menyuarakan kebimbangan berkaitan isu tanah, khususnya kemungkinan pihak luar mengambil kesempatan terhadap tanah mereka termasuk kawasan berstatus Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Penduduk perlu sentiasa memastikan hak dan kepentingan berkaitan tanah mereka dilindungi serta tidak mudah menyerahkan atau melepaskannya kepada pihak lain,” katanya.
Beliau berkata, isu bekalan air turut menjadi antara keutamaan penduduk Mupong memandangkan projek bekalan air masih belum sampai ke kawasan berkenaan.
“Isu itu akan diusahakan supaya dapat dipercepatkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, penduduk penempatan nelayan RGC Pulau Bruit turut mengemukakan beberapa keperluan asas, termasuk penubuhan segera Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sementara.
Katanya, penduduk turut memerlukan jalan baharu menuju ke sekolah serta sistem pengurusan dan pembuangan sampah yang lebih teratur.
Beliau berkata, penempatan nelayan berkenaan turut mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai komuniti berkonsepkan kebun buah-buahan berikutan kegiatan penduduk mengusahakan tanaman seperti tembikai dan sayur-sayuran di sekitar kediaman.
“Potensi ini boleh dikembangkan dengan menjadikan penempatan nelayan RGC Pulau Bruit sebagai kawasan perumahan dalam taman atau komuniti berkonsepkan kebun buah-buahan, sekali gus memberi nilai tambah kepada kawasan berkenaan,” katanya.

56 minutes ago
3








English (US) ·