ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Kurang empat peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengalami kelewatan atau masalah pada satu-satu masa, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata angka itu perlu dilihat dalam konteks jumlah projek yang dilaksanakan JKR yang melibatkan peruntukan berbilion ringgit serta ribuan projek di seluruh negara.
Sehubungan itu, Nanta meminta semua pihak supaya tidak terlalu mudah menuding jari kepada JKR sekiranya sesuatu projek mengalami kelewatan, memandangkan terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi pelaksanaannya.
“Sebab itu saya merayu kepada semua pihak, janganlah terlalu mudah menuding jari dan mengatakan sesuatu projek lewat disebabkan JKR. JKR melaksanakan projek, tetapi kita juga bergantung kepada kerjasama pihak lain.
“Semua pihak perlu bersama-sama memastikan projek tidak lewat atau menjadi projek sakit, sebaliknya dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, di sini, hari ini.
Nanta berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) bagaimanapun tidak akan berkompromi terhadap projek yang mengalami kelewatan dan menyasarkan supaya jumlah projek sakit dapat dikurangkan kepada sifar.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek mengikut tempoh ditetapkan merupakan piawaian sedia ada KKR, manakala penyiapan lebih awal atau ‘ahead of time’ (AOT) adalah lebih baik sekiranya dapat dicapai.
“Memang dari mula lagi piawaian kita untuk menyiapkan semua projek yang kita laksanakan dengan masa yang telah ditetapkan. Pada masanya atau ‘On time’. Projek awal itu lagi baguslah, ‘ahead of time’,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nanta memaklumkan sehingga September 2026, sebanyak 112 projek melibatkan pelbagai agensi dengan jumlah peruntukan kira-kira RM12 bilion sedang dilaksanakan melalui JKR Malaysia sebagai agensi teknikal utama kerajaan.
Daripada jumlah tersebut, 30 projek telah siap, 38 projek sedang dalam pembinaan, 41 projek berada di peringkat pra-pembinaan manakala tiga projek di peringkat kerajaan awal.
Mengulas projek Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam Kuching, beliau berkata projek itu berjaya disiapkan walaupun melalui proses tender semula.
Katanya, Sijil Perakuan Siap Kerja atau Certificate of Practical Completion (CPC) bagi projek berkenaan telah dikeluarkan pada 26 Mei 2026 dan kini sedia dimanfaatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Walaupun ini tender semula, tapi akhirnya ia disiapkan dengan yang terbaik dan dilengkapi dengan kemudahan yang sempurna untuk kegunaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kuching,” katanya.
Nanta berkata kejayaan projek itu merupakan hasil kerjasama antara KKR, JKR Malaysia, JKDM dan Kementerian Kewangan dalam memastikan projek dilaksanakan dari aspek kualiti, keselamatan, kos dan tempoh yang ditetapkan.
Beliau turut mengingatkan kontraktor supaya melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh liabiliti kecacatan atau Defect Liability Period (DLP), termasuk mengambil tindakan terhadap sebarang kecacatan yang dikenal pasti.
Beliau berharap fasiliti berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkemas pengurusan barangan rampasan serta meningkatkan keupayaan penguatkuasaan JKDM di Sarawak. – TVS

58 minutes ago
6








English (US) ·