ADVERTISE HERE
MIRI, 19 Sept: Penempatan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Sarawak meningkat daripada 7,890 orang pada 2013 kepada lebih 12,800 orang bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, perkembangan itu menunjukkan kemahiran teknikal terus mempunyai tempat penting dalam pasaran pekerjaan.
Menurutnya, data Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tempoh 2020 hingga 2025 turut merekodkan kadar bekerja graduan TVET sebanyak 95.9 peratus, dengan 54,893 daripada 57,244 graduan yang berada dalam pasaran tenaga kerja direkodkan bekerja.
“Angka ini membawa satu mesej yang jelas iaitu kemahiran teknikal mempunyai tempat yang penting dalam pasaran pekerjaan pada hari ini.
“Tetapi kita juga perlu melihat ke hadapan kerana teknologi berubah dengan cepat, model perniagaan berubah dan keperluan industri berubah,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Ilmu Belia Koperasi, di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini, hari ini.
Tambah beliau, kelebihan golongan belia bukan hanya terletak pada sijil atau kemahiran yang dimiliki, sebaliknya turut bergantung kepada keupayaan untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan menggunakan kemahiran dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
Tambah beliau, pengalaman dan kemahiran yang dibina melalui TVET juga boleh menjadi asas kepada keusahawanan, termasuk menerusi sektor koperasi.
Menurutnya, golongan belia perlu melihat peluang yang lebih luas daripada sekadar mendapatkan pekerjaan, khususnya susulan perkembangan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang turut mengubah keperluan tenaga kerja.
“Jangan hanya fokus kepada mendapatkan pekerjaan baik di sektor swasta ataupun di sektor kerajaan sebab peluang pekerjaan ini adalah begitu terhad pada masa sekarang.
“Antara sektor yang boleh memberikan pulangan yang tinggi dan peluang peningkatan ekonomi yang lebih cepat adalah sektor perniagaan dan antaranya ialah sektor koperasi,” katanya lagi.
Beliau turut menggalakkan golongan belia meneroka pelbagai bidang termasuk pertanian, penternakan, industri, pengangkutan dan peruncitan berdasarkan kemahiran serta minat masing-masing.
Jelas beliau, peranan Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri penting dalam meningkatkan kesedaran belia mengenai peluang keusahawanan menerusi koperasi. – TVS

57 minutes ago
2








English (US) ·