ADVERTISE HERE
KUCHING, 17 Sept: Keperluan pembelajaran yang seiring dengan perkembangan teknologi mendorong Maybank Wilayah Sarawak memperkasa kemudahan digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong menerusi sumbangan empat unit televisyen (TV) pintar.
Pengarah Wilayah Maybank Sarawak, Abang Jamili Abang Julai berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Cahaya Kasih Maybank yang dilaksanakan bagi tempoh dua tahun khususnya bagi membantu sekolah menangani kekangan kemudahan teknologi dan komunikasi.
Menurutnya, perubahan dalam sistem pendidikan dan perkembangan teknologi memerlukan semua pihak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa bagi memastikan pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan masa kini.
“Kita akan berusaha untuk bersama membantu kanak-kanak, lebih-lebih lagi tentang pembelajaran ataupun pendidikan.
“Zaman dah berubah, zaman bukan seperti zaman saya sekolah dulu ataupun zaman Yang Berhormat (Datuk Seri Nancy Shukri) pergi sekolah dulu. Jadi kita kena menyesuaikan diri dalam keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Maybank Global Corporate Responsibility (CR) Day 2026 dan Program Cahaya Kasih Challenge 2026-2027 di SMK Santubong, hari ini.
Abang Jamili menjelaskan, penyediaan kemudahan digital itu diharap dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar, selain memberi peluang kepada mereka memanfaatkan teknologi dalam proses pendidikan.
Menurutnya, transformasi digital merupakan satu keperluan yang tidak dapat dielakkan memandangkan ekonomi dan kehidupan masyarakat kini semakin bergantung kepada teknologi.
Tambahnya, sumbangan empat unit TV pintar itu turut mencerminkan komitmen Maybank untuk memberikan impak positif kepada masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab korporat.
“Program Cahaya Kasih bukan sekadar program kesukarelawanan, malah melibatkan perkongsian masa, tenaga dan kepakaran warga Maybank bagi membantu memenuhi keperluan sebenar komuniti,” ujarnya.
Antara perkongsian yang diberikan kepada warga sekolah termasuk pengetahuan berkaitan teknologi serta platform digital Maybank yang dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai perkembangan dunia digital.
Dalam pada itu, Abang Jamili berharap lebih banyak pihak korporat tampil membantu sekolah berkenaan dalam memperkukuh kemudahan pendidikan dan teknologi.
“Saya harap ada juga pihak-pihak korporat yang lain mungkin sama-sama membantu sekolah ini juga,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan komitmen Maybank untuk memberikan impak positif kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif di bawah strategi Road to POTI sehingga 2030.
Menurutnya, sebanyak 93 inisiatif dilaksanakan Maybank tahun ini bagi menyokong agenda berkenaan, dengan tumpuan antaranya kepada pemerkasaan komuniti, kesukarelawanan dan kelestarian.
Abang Jamili berkata, Maybank turut menyasarkan 150,000 jam kerja sukarelawan tahun ini di seluruh kumpulan, dengan pendekatan lebih besar kepada kesukarelawanan berasaskan kemahiran.-TVS

3 hours ago
10








English (US) ·