ADVERTISE HERE
KUCHING, 16 Sept: Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama agensi penguatkuasaan dan rakan strategik Malaysia-Indonesia melaksanakan Ops Lintas Batas 2026 bagi memperkukuh pemantauan serta perlindungan hidupan liar di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Operasi yang berlangsung dari 10 hingga 15 September itu melibatkan kawasan Aruk-Biawak dan sekitar sempadan Malaysia-Indonesia.
Menurut kenyataan SFC, seramai 98 anggota daripada 18 agensi dan organisasi dari Malaysia serta Indonesia terlibat dalam operasi berkenaan.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah rondaan bersama di kawasan sempadan dan hutan, sekatan serta pemeriksaan di lokasi strategik selain pemantauan laluan rentas sempadan bagi mencegah aktiviti penyeludupan.
“Operasi turut melibatkan perkongsian maklumat dan risikan antara agensi bagi meningkatkan keupayaan penguatkuasaan dalam menangani kegiatan rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.
Selain penguatkuasaan, Program 1000 Site Visit turut dilaksanakan menerusi kunjungan dan sesi kesedaran bersama komuniti di kawasan sempadan.
Program itu bertujuan meningkatkan pemahaman serta sokongan masyarakat terhadap usaha perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan khazanah alam.
Menurut SFC, kerjasama Malaysia-Indonesia menerusi operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam menangani ancaman rentas sempadan, selain memperkukuh usaha pemuliharaan hidupan liar dan penglibatan komuniti.-TVS

50 minutes ago
4








English (US) ·