Abang Johari ketika ditemui media di Kuching.

Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 5 Ogos: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pindaan terhadap Ordinan Taman Negara dan Sumber Asli bagi tujuan memelihara alam sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pindaan tersebut kini sedang diperhalusi oleh Peguam Besar Negeri, seterusnya dibincangkan oleh kabinet.

Advertisement

“Setelah itu pindaan ini akan dibawa ke persidangan dewan undangan negeri untuk diluluskan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian ‘The 10th World Congress of Herpertology’ di Kuching hari ini.

Tambah Abang Johari, undang-undang sedia ada tidak mencukupi kerana banyak berlaku pencerobohan di taman negara.

Katanya, undang-undang yang lebih ketat seperti hukuman penjara dicadang bagi membendung pencerobohan.

“Yang lebih buruk ialah apa yang berlaku di Thailand dimana gajah dibunuh hanya untuk mendapatkan belalainya. Ini tidak betul.

“Maka sebelum ia berlaku di sini, kita mesti ada satu undang-undang,” kata Abang Johari. — DayakDaily