ADVERTISE HERE
BELAGA, 16 Sept: Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Asap perlu dipercepat bagi memastikan masa tindak balas kecemasan kepada penduduk di kawasan berkenaan dapat dipendekkan.
Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, faktor jarak dan tempoh perjalanan perlu diberi perhatian bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman mendapat perkhidmatan kecemasan yang berkesan.
“Apabila berlaku kecemasan, masa adalah nyawa. Kalau kita boleh mempercepatkan sesuatu projek untuk kepentingan rakyat, mengapa kita perlu melambatkannya?” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian BBP Belaga, di sini, hari ini.
Beliau turut meminta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjadikan pembinaan BBP Sungai Asap sebagai keutamaan serta menyelesaikan isu berkaitan projek itu menerusi kerjasama antara kementerian dan jabatan berkaitan.
Menurutnya, kewujudan BBP Belaga pula bukan sekadar menyediakan sebuah bangunan untuk anggota bomba, malah menjadi benteng keselamatan penting kepada penduduk daerah berkenaan dan kawasan sekitarnya.
“Jangan ada jurang antara bandar dan luar bandar. Jangan kerana kita jauh dari pusat pentadbiran, kita dianggap jauh daripada perhatian Kerajaan,” ujarnya.
Wilson berkata, pembangunan kemudahan keselamatan perlu bergerak seiring dengan pembangunan lain bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman turut menikmati manfaat perkhidmatan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada anggota bomba yang sentiasa berdepan risiko ketika melaksanakan tugas menyelamatkan nyawa.
Beliau menyifatkan BBP Belaga sebagai ‘rumah kepada para penyelamat rakyat’ sekali gus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan komuniti setempat.
Majlis perasmian turut diserikan dengan pameran kebombaan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan persembahan kebombaan yang mendapat sambutan komuniti setempat.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Nazili Mahmood, Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran; Timbalan Residen Kapit, Robert Liman Deli dan Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah.
Sebagai simbolik perasmian, Wilson turut menanam pokok di halaman BBP Belaga sebagai tanda harapan agar balai berkenaan terus menjadi pemangkin kepada aspek keselamatan dan perkhidmatan kebombaan untuk masyarakat setempat.-TVS

2 hours ago
5








English (US) ·